Proses Urusan Jenazah Baru Meninggal

Assalamualaikum Ni hao Konnichiwa,

Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri proses urusan jenazah saudara terdekat daripada awal hingga akhir. Jadi saya ingin kongsikan disini untuk ingatan dan panduan bersama. Perkongsian ini adalah berdasarkan pengalaman penulis ya.

1. Bila seseorang didapati meninggal samada dirumah atau dalam perjalanan ke hospital/klinik, laporan polis perlu dibuat.

2. Jika meninggal semasa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital, maka pihak hospital akan membuat pengesahan kematian. Jika simati berada dalam kereta ketika itu, anda boleh menghantar ke Hospital untuk pengesahan kematian. Kemudian mayat akan ditempatkan sementara di bahagian Forensik sementara anda menyelesaikan urusan. Atau boleh juga terus dibawa balik ke rumah untuk urusan mandi dan kafan.

3. Waris terdekat yang perlu hadir untuk membuat laporan polis. Bawa bersama kad pengenalan simati dan kad pengenalan anda untuk dokumentasi. 

4. Pihak polis akan memberi salinan laporan & permit membenarkan pengebumian.
Permit Mengubur. Perlu hantar ke JPN untuk urusan sijil kematian.

5. Selepas itu, jika mayat berada di bahagian Forensik Hospital, anda perlu membawa dua dokumen berkenaan beserta salinan Kad pengenalan untuk mereka fotostat.

6. Selepas itu, anda dibenarkan untuk membawa balik mayat bagi urusan pengebumian.

7. Tetapi untuk makluman, mereka juga ada menyediakan perkhidmatan memandikan mayat di situ tetapi 'outsource' dibuat oleh orang luar. Bayaran dikenakan adalah RM380.00.

Jika perlukan keranda, bayaran adalah RM200.00. Hanya maklumkan kepada bahagian kaunter Forensik berkenaan.

8. Proses memandikan mayat memakan masa sekitar 1 jam. 2 orang waris dibenar untuk serta memandikan mayat. Ini adalah pengalaman pertama kali dalam seumur hidup saya memandikan jenazah. Mula-mula memang diakui rasa sedikit takut dan risau dan rasa tidak percaya orang yang dilihat hidup bergerak selama ini sudah kaku. Mandikanlah mayat seolah mereka masih hidup
 Penuh lemah lembut dan kasih sayang ya.

9. Mereka akan terus mengkafankan mayat. Kapur barus akan disapu dibadan mayat. Jika mayat perempuan, pastikan bawa telekung ya. Memudahkan urusan untuk kafan. Kalau tak silap saya, perempuan minima 5 lapis. Lelaki minima 3 lapis. Saya tengok mereka lapiskan kapas tebal dikeliling badan seperti memakai baju sejuk yang tebal, kemudian baru dibalut dengan kain putih. Kapas juga dimasukkan dibahagian rongga hidung, serta bahagian "bawah". Mereka juga ada membuat bantal daripada kapas bagi membolehkan mayat berada dalam posisi tegak menghadap keatas.

10. Mayat dimasukkan ke dalam keranda.

11. Maklumkan kepada kaunter forensik untuk menyewa van jenazah. Bayaran dikenakan sebanyak RM10.00. Van akan terus menghantar ke masjid/surau/rumah yang anda tetapkan. 3 orang boleh ikut bersama dalam van jenazah berkenaan.
Resit rasmi bayaran sewa van jenazah hospital

12. Pastikan hubungi dan maklumkan kepada pihak masjid awal supaya mereka juga telah bersiap sedia menggali liang lahad.

13. Jenazah akan diletakkan diruang solat dan waris serta sahabat boleh melihat untuk kali yang terakhir.

14. Jenazah akan disolatkan selepas selesai solat Fardu. Solat jenazah tiada rukuk dan sujud ya. Doakan sebanyaknya untuk simati. 

15. Cubalah waris untuk membuat pengumuman memaklumkan sekiranya simati ada berhutang, maklumkan kepada waris.

16. Jenazah akan dibawa ke kubur untuk ditanam. Biasanya memerlukan ramai tenaga lelaki untuk mengangkat. Percepatkan proses pengkebumian mayat.

17. Jika sekiranya tanah tersebut ditepi sungai atau jenis tanas pasir, keranda biasa ditanam bersama-sama. 

18. Tanah akan dikambus tutup dan bersurai. Bayaran juga dikenakan bagi proses galian liang lahad.

Untuk makluman, majlis tahlil oleh keluarga simati adalah tidak digalakkan (tiada syariat dalam islam). Yang sebetulnya ialah majlis boleh dibuat oleh masyarakat kepada keluarga simati. Ini kerana keluarga sudahlah terbeban dengan urusan kematian, nanti lagi terbeban dengan duit dan urusan tahlil pula. Jangan guna duit simati untuk tahlil ya. Harta simati adalah untuk melangsaikan hutangnya dan juga hak milik ahli waris faraid.

Pastikan selesaikan urusan faraid secepat yang mungkin ya. 

Itu sahaja untuk kali ini. Jumpa lagi. Jaane. Zai jian.

Comments