Proves of Loves by The Creator

Terlalu banyak keistimewaan yang Allah berikan kepada wanita. Itulah pernyataan yang paling mudah digunakan bagi menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme ataupun agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik seperti mana Islam melayan kaum wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini bagi menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan kepada seorang wanita dalam Islam.


Sungguhpun begitu, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Oleh itu, kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan mereka merasa terkongkong dengan amalan ataupun larangan tertentu yang dikenakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas antara lelaki dan wanita, berpoligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan ataupun larangan yang dianggap sangat menindas ini. Walhal kalau dikaji setiap 1 amalan ataupun larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Hari ini, sangat banyak individu yang berusaha memperjuangkan hak-hak wanita dan seboleh-bolehnya mereka tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Mereka mahu mendapat hak yang sama seperti kaum lelaki. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia itu sendiri banyak membuat peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya dalam soal lalu lintas, tidak boleh meletak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada lampu isyarat merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7pm dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukannya, apatah lagi kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Allah SWT sebenarnya sangat kasih dan sangat memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang dikenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat terjamin dan ia sekali-kali bukan menyusahkan mereka.

Comments