learning (142) diary (105) picture (92) religion (91) recipe (35) IT (25) others (25) iium (24) video (17) language (14)

Monday, February 23, 2009

BIAWAK PASIR GALI LUBANG


Bila nabi berhijrah ke Madinah, orang mulai menyusup-nyusup untuk melawan Nabi. Kerana ap? Kerana manusia bila memegang sebuah kerajaan, dia ada kuasa. Dia ada kuasa jail, kuasa sebat, kuasa itu, kuasa ini. Maka mulailah bila sampai di Madinah, orang yg sokong Nabi sokong terang-terangan, yg tak sokong Nabi berpecah dua. Yang tak sokong terang-terang, yg lemah-lemah sedikit dia jadi munafik.

Munafik maknanya orang yg mempunyai sifat nafak. An-Nafak maknanya lubang bawah tanah yg mempunyai dua muka, macam terowong. Terowong tu di sebelah sini ada muka, sebelah sana pun ada muka. Biawak pasir yg gali rumah dia dalam pasir tu sebelah sini ada lubang, sebelah sana pun ada lubang. Untuk nak keluar biasa sebelah sini, kalau nampak ada musuh, keluar sana. Orang munafik maknanya orang panggil perangai biawak pasir!

PENGAWAL YANG MENJAGA STOR


Apa bezanya kerajaan dengan gangster? Jangan kita dikir puak-puak yg merompak bank dan yg menyeludup dadah kerja bersendirian tetapi mereka juga mempunyai peraturan, disiplin, majlis mensyarat dan menteri. Akhirnya gangster ini menjadi daulah fi daulah, negeri dalam negeri.

Jadi dalam sebuah negeri, kerajaan memerintah negeri, gangster pun memerintah dalam kawasan dia. Jadi apa perbezaan antara kerajaan dengan gangster? Perbezaan pertama ialah gengster tidak ada bendera. Ketua dia berjalan tidak membawa bendera, kawasan dia memerintah pun tidak pasang bendera sebaliknya kerajaan mempunyai bendera. Keduanya, gangster merebut harta untuk dirinya sahaja, sementara kerajaan pula menjaga harta untuk rakyat.

Kerajaan menjaga rakyat serupa seorang pengawal menjaga stor. Walaupun dia hanya bergaji RM20 dan barang-barang dalam stor bernilai berjuta-juta ringgit, adakah dia boleh ambil barang dalam stor itu kerana dia penjaganya. Tidak boleh! Walaupun kamu menjaga stor, kamu jangan usik barang-barang itu. Begitu juga kerajaan. Walaupun dia menjaga harta rakyat - dia hendak ambil balak sekerat pun tidak boleh!

SAKIT TANGAN CEKAH DURIAN


Duit kena cari, pahala pun kena cari. Bila kita menyekat judi, kita boleh pahala dan kita buka banyak peluang kepada rakyat untuk membuat kerja kerana kita menyekat lubang-lubang bocor. Walaupun gaji banyak tetapi kalau semuanya habis di kedai judi, apa boleh dapat? Tidak boleh beli ikan, beras, berkelahi dengan tauke kedai kopi. Kerana apa? Tidak ada duit hendak bayar kerana 'poket bocor' duit keluar melalui judi.

Barang baik yg dibuat cepat orang tiru, walaupun pada peringkat awalnya mereka ni melawan kita. Ibarat kita mencekah buah durian, mula-mula tangan yg sakit kerana terkena duri durian selepas itu sedaplah! Tetapi ada sesetengah orang dengan sebab dia tidak dapat tahan rasa sakit, dia ttidak mahu makan durian. Durian ni sedap, kalau luka pun sabarlah sedikit kerana bila kita beli durian kita beli dengan duri-durinya bukan isi sahaja.

KERETA TOYOTA TARIK LORI


Kewajipan kita ialah menggagahkan diri kita untuk memaut orang - buat apa kekuatan iman begini, kalau kita hendak menarik orang lain - tetapi jangan pula kita cuba memaut orang ketika mana kita tidak mantap lagi, akhir sekali kita pula condong menurut dia. Dari segi psikologi orang ni mempunyai hemah tinggi dan berniat molek tetapi jiwanya lemah. Dia berkawan dengan orang dengan tujuan hendak memaut, tetapi jiwa dia lemah, akhir sekali dia pula yg terpaut.
Serupa sebuah lori jatuh ke dalam gaung. Kalau kita guna kereta Toyota kecil untuk menarik naik, dengan sebab lori itu berat akhir sekali kereta Toyota pula terjunam ke bawah. Sepatutnya bila yg jatuh itu lori, kita guna lori yg lebih besar lagi barulah dia mempunyai power. Ini satu daripada keindahan nasihat dari Allah kerana dia bimbing kita warak sungguh hingga tidak peduli kepada orang lain.

DUTA-DUTA BAGI NEGARA ASING

Kepada orang politik dia boleh satu lagi modal melalui ayat ini, bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan. Secara serentak dalam lafaz yg sama, Allah swt menyebut bahawa orang yg tidak mahu turut Aku dia akan menurut orang lain. Orang lain jenis mana? Iaitu jenis orang yg tunjuk handalan ke, tunjuk maharajalela ke, jenis tidak dengar kata orang lain ke, jenis orang lain mesti dengar kata dia sahaja ke. Ataupun dalam istilah politik sekarang digelar "diktator". Inilah orang-orang yg dimurkai oleh Nabi-nabi maka dengan automatiknya akan dimarahi oelh Allah kerana nabi-nabi ini duta Allah di muka bumi,serupa cakapan duta-duta negara asing yg berada di Kuala Lumpur merupakan cakapan kerajaan dia.

Jadi sebagaimana manusia ini ada duta masing-masing, Allah juga menghantar duta Dia kepada manusia iaitu para nabi. Apa sahaja yg nabi kata, itulah perkataan Allah. Apa sahaja tindak-tanduk yg dibuat oleh nabi, itulah tindak-tanduk yg dipersetujui dan diredhai Allah, maka kita ini jenis primitif, jenis orang hutan, jenis orang yg tidak ada tamadun. Walaupun pen ada di poket sebagai tanda kita pandai menulis tetapi pemikiran kita msih lagi primitif, kita masih lagi orang hutan yg tidak mengerti adab antarabangsa dan hubungan antara Allah dengan dutanya.

TATANG PELITA AYAM DI WAKTU BERJALAN MALAM

Kalaulah kita yg ada hari ni pandai bawa Islam, pandai tackle benda ni dengan penuh hormat, seperti mana kita tatang pelita ayam kita bawa berjalan malam. Kalau malam yg gelap, tambah pula angin bertiup kencang. maka kita bimbang pelita padam, kita pekup dengan jari, pekup dengan daun pisang. Jalannya payah, berselut, berlubang, sementara ada pula orang duduk tengah-tengah jalan nanti hendak hembus. Terasa kita bagaimana payahnya hendak bawa Islam, baik di zaman Nabi SAW lebih-lebih lagi zaman sekarang.

ORANG YANG TIDAK MAHU MERDEKA

Orang yg tidak mahu kepada hukum hudud seperti orang yg tidak mahu kepada kemerdekaan. Bukan sahaja orang awam, bahkan orang yg berpelajaran pun menolak hudud. Orang mengaji agama tidak mahu hudud kerana tok guru dia mengajar jagan laksana hudud. Jadi anak murid dia pun kata tak boleh hudud. Walaupun tua tetapi perangai dia seperti budak kecil yg berhingus kerana dia tahu hudud ni barang agama, mana ada barang agama di muka bumi ni jenis boleh terima dan boleh tolak. Agama lain teori lain. Hudud ni agama bukan teori.

Kalau kamu sembahyang bolehkah kamu tinggalkan rukuk? Kalau kamu sembahyang kamu kena takbir, baca Fatihah, kena sujud, kena baca itu baca ini. Kalau kamu baca Fatihah tetapi kamu tidak mahu sujud, sudah tentunya itu tidak sembahyang!!.

BAWA GELAS YANG PENUH DENGAN AIR

Apabila diisytihar Malaysia sebagai sebuah negara Islam maknanya diselaraskan budaya orang Malaysia dengan budaya orang Makkah iaitu budaya Islam. Apa sahaja budaya yang selaras dengan Islam hendaklah dikekalkan sampai kiamat dan apa sahaja budaya sampah sarap dunia kita buang.

Jadi jangan terima sangat buah Orang Putih yang kalau sebut budaya hanya tunjuk gambar orang perempuan yang tidak senonoh. Ini semua racun yang dibawa masuk orang-orang Zionis Yahudi untuk merosakkan pemikiran orang Islam dan merosakkan budaya Islam.

Perkara-perkara ini memanglah tidak boleh diperbetul sekaligus, kena mula dengan nama Islam dan bergerak dengan nama Islam walaupun terpaksa menerima rintangan sekali-sekala.

Sayid Qutb sebut apabila kamu pegang Islam ertinya kamu berjalan jauh membawa secawan gelas yang penuh dengan air yang tidak boleh tumpah. Kerajaan kita diminta membawa gelas selama beberapa tahun. Jalannya bagaimana? Jalannya ada tinggi, ada rendah, ada bengkok, ada tiang. Lepas itu ada ribut, mungkin kita tumbang. Ada pula orang yg menjolok kamu dari bawah, ada yg geletek pinggang, ada orang yg geletek hendak suruh kamu menggelepar, ada yg tunggu atas dahan hendak terjah turun. Jadi banyak benda-benda yg boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

Tuesday, February 17, 2009

Mari Belajar Bahasa Istana

Kalau rakyat makan, raja santap
Kalau rakyat tidur, raja beradu
Kalau rakyat mandi, raja bersiram
Kalau rakyat sakit, raja gering
Kalau rakyat marah, raja murka
Kalau rakyat berjalan, raja mencemar duli
Kalau rakyat bersuara, raja bertitah
Kalau rakyat tinggal di rumah, raja di istana
Kalau rakyat duduk kerusi, raja duduk singgahsana
Kalau rakyat ada isteri, raja ada permaisuri
Kalau rakyat ada nenek, raja ada nenda
Kalau rakyat mati dikuburkan, raja dimakamkan
Kalau rakyat mati, raja mangkat
Kalau rakyat mati jadi Allahyarham, raja mangkat jadi Almarhum
Kalau rakyat bagi hadiah, raja bagi anugerah
Kalau hujan rakyat pakai payung, raja pakai iram-iram
Kalau rakyat baling kasut, raja baling kaus
Kalau rakyat sambut hari jadi, raja sambut hari keputeraan
Kalau rakyat bertolak, raja berangkat
Kalau rakyat buang air kecil, raja buang air seni
Kalau rakyat suka, raja berkenan
Kalau rakyat sakit kepala, raja gering hulu

Monday, February 16, 2009

ORANG YANG BERKAKI AYAM

Sebagaimana makanan zahir ada kesannya. Contohnya garam kesannya masin, air kesannya basah, api kesannya hangus dan begitulah juga kesan makanan haram keatas batin kita. Apa kesannya? Lupa kepada Allah, pandang lekeh syariat Allah, merasakan sudah betul apa yg kita buat. Ini kesan drpd makanan haram, minuman haram, pakaian haram dan rumahtangga haram. Kesan ini tidak dapat dirasakan sangat apabila dosa itu berlapis, sebagaimana lidah yg berpenyakit tidak dapat merasa makanan. Kerana apa? Kerana lidah berselaput.

Serupa kalau kita biasa berkaki ayam - tidak pakai selipar/kasut, tapak kaki kita menjadi tebal, bila terpijak tahi ayam pun kita tidak berasa apa-apa. Kerana apa? Kerana tapak kaki tebal.

Tetapi kalau tapak kaki nipis kerana pakai selipar, pijak sahaja sesuatu benda kaki akan berasa tidak sedap dan tak selesa. Sebagaimana tubuh zahir kita rosak bila tidak ada pancaindera, begitulah pancaindera batin kita rosak kerana perkara-perkara haram.

DUNIA BUKANLAH PUNCAK KESERONOKAN HIDUP

Untuk menjadi ahli syurga memang payah tetapi benda ini Tuhan tahu manusia boleh capai, sebab itu Allah suruh kita berusaha. Cumanya Allah memberi gambaran kepada kita, bukan senang hendak masuk syurga kerana syurga ini kemuncak keseronokan hidup. Ini cara Tuhan menggambarkan keseronokan syurga. Mana ada manusia yg tidak mahu berseronok? Baik kanak-kanak, orang tua, orang intelek, orang buta huruf - semuanya hendak keseronokan dan kesenangan hidup. Yakinlah, cari ikut mana pun, kemuncak keseronokan hidup tidak boleh dicapai di dunia ini. Katalah kita ada duit boleh buat rumah besar, semua bilik air-cond belaka hingga bilik air pun ada air-cond, kita pun berasa selesa duduk. Sebulan kemudian mulailah puas, mula masuk kampung, cari pantai, pergi rata-rata, naik bukit, pergi memancing, main bola dan round dunia.

Buat bermacam-macam fesyen untuk mencari kepuasan dan keseronokan, akhirnya balik ke rumah mertua di kampung makan pucuk ubicicah budu. Aduuuuh! Sedapnya. Maka apabila manusia menjadikan syurga matlamat hidup ketika itu pandailah dia berikhtiar di atas dunia ini bagaimana cara hendak ke akhirat dengan selamat.

Sunday, February 15, 2009

SIAPA PEMIMPIN YANG DIREDAI ALLAH? [2]


PEMIMPIN DAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah al-Halabi, Mesir; jilid 2)

Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (al-Matbaah al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (al-Matbaah al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.

BERHATI-HATI MEMILIH PEMIMPIN

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”

Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

SIAPAKAH PEMIMPIN YANG DIREDAI ALLAH?


Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya, sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.

Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialahmendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.

PEMIMPIN DAN SOLAT

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu.

Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”
Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.

PEMIMPIN DAN ZAKAT

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.

SIAPAKAH YANG BENAR-BENAR MENGAJI AL-QURAN?


Pada hari ini sebahagian besar umat Islam telah menjadikan al-Quran sebagai kitab berkat. Mereka hanya membaca Al-Quran untuk mendapat berkat dan tidak lebih dari itu. Sebahagian yang lain pula rajin membaca atau mengaji al-Quran. Walaupun perbuatan mereka adalah baik namun mereka mereka berpuas hati sekadar itu tanpa berusaha untuk memahami apa yang mereka baca.
Sikap seperti ini telah ditegur oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 121. Allah berfirman, “Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Berhubung dengan kalimat ‘membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya,’ sahabat Abdullah ibn Masud telah berkata, “Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.” Perkara ini telah disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.

Justeru Allah mahu umat Islam bukan sekadar mengaji al-Quran tetapi 'mengaji dengan sebenar-benarnya' dengan maksud yang telah disebutkan di atas.

SIAPAKAH MANUSIA YANG BENAR-BENAR BERTAKWA?

Tidak kesemua mereka yang beriman bertakwa kepada Allah.

Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102-103, Allah mengarahkan mereka yang beriman agar bertakwa melalui firman-Nya yang bermaksud,

“Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai..”


Sahabat Abdullah ibn Masud mentafsirkan “sebenar-benar takwa” sebagai

* melaksanakan taat jangan bermaksiat,
* sentiasa mengingati-Nya jangan alpa dan
* sentiasa bersyukur jangan kufur".

(Rujukan al-Asas fit Tafsir oleh Syeikh Said Hawa)

SIAPAKAH MANUSIA YANG BENAR-BENAR BERTAKWA?

Tidak kesemua mereka yang beriman bertakwa kepada Allah.

Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102-103, Allah mengarahkan mereka yang beriman agar bertakwa melalui firman-Nya yang bermaksud,

“Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai..”


Sahabat Abdullah ibn Masud mentafsirkan “sebenar-benar takwa” sebagai

* melaksanakan taat jangan bermaksiat,
* sentiasa mengingati-Nya jangan alpa dan
* sentiasa bersyukur jangan kufur".

(Rujukan al-Asas fit Tafsir oleh Syeikh Said Hawa)